Pelajar Lepasan SPM Rasai Arus IR4.0

KUALA NERUS, 29 Oktober – Kepentingan Industri 4.0 terus diterapkan dalam kalangan anak didik negara khususnya 1,131 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebahagian daripada program empower ECER Akademik iaitu Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0.

Menerusi kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melalui Asia Centre of Excellence for Smart Technologies (ACES) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), lebih 1000 anak tempatan diperkenalkan dengan konsep digitalisasi tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh berkata, pelaksanaan program rintis tersebut merupakan inisiatif tambahan ECERDC dalam meningkatkan kesedaran awal pelajar tentang I4.0.

“Para pelajar yang dipilih ini telah diperkenalkan kepada teknologi digital terkini agar perkembangan pengetahuan dan kemahiran mereka seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa demi kemajuan negara.

“Lepasan SPM yang dipilih untuk menyertai program tersebut memenuhi seperti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, mencapai peningkatan Gred Purata Murid (GPM) serta mempunyai rekod kehadiran 95 peratus dalam program empower ECER Akademik,” katanya.

Tambahnya, mereka yang terpilih juga merupakan dari golongan B40 dan yang tinggal di kawasan luar bandar.

Untuk rekod, anjuran tersebut diadakan di tiga negeri iaitu Terengganu (daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu dan Marang); Pahang (Jerantut, Maran, Rompin dan Temerloh) serta Johor (Mersing).

Selain pendedahan berkenaan I4.0, para peserta di ketiga-tiga negeri turut berpeluang berkongsi pandangan dan berinteraksi dengan Menteri Besar masing-masing.

Menurut penganjur lagi, acara selama tiga minggu tersebut diisi dengan 10 modul meliputi Pengenalan IR4.0; Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR); Pembuatan Bahan Tambahan 3D;
Internet Benda (IoT); Data Raya; Pengkomputeran Awan; Simulasi Termaju; Robot Berautonomi; Integrasi Sistem Sejagat dan Keselamatan Siber.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *