Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Mohd. Norman Noh (tengah) mengacau bubur lambuk bersama peserta di program Jalinan Kasih empower ECER di Mersing.
KUALA NERUS: Yayasan Petronas, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui anak syarikat UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. telah bekerjasama mengedarkan bubur lambuk di bawah program Jalinan Kasih empower ECER.
Program ini terbahagi kepada program empower ECER-MEKAR (bagi Daerah Dungun dan Kemaman) dan program empower ECER (bagi Daerah Temerloh, Bentong & Mersing).
Ia adalah satu program usahasama antara ECERDC dan UniSZA bagi memberikan peluang kepada peserta empower ECER di lima daerah terbabit untuk memanfaatkan Ramadan sebagai bulan untuk bersedekah.
Di samping itu, ia juga bertujuan mendidik rohani usahawan untuk memberikan terus membuat amal kebajikan.
Selain itu, ia dapat mengeratkan silaturahim antara peserta empower ECER dengan masyarakat setempat.
Melalui program seperti ini, usahawan empower ECER berpeluang menambah pengetahuan serta ilmu tentang manfaat bulan Ramadan dan mendidik rohani mereka.
Mereka mendapat peluang untuk membuat amal kebajikan sepanjang Ramadan di samping dapat menjalinkan hubungan perniagaan kepada orang ramai dengan memperkenalkan perniagaan mereka.
Program ini keseluruhannya membabitkan penyertaan 731 orang peserta yang tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi menjayakan projek pengedaran bubur lambuk itu.
Ia terdiri daripada 115 peserta di Bentong, Temerloh (123 orang), Dungun (183 orang), Kemaman (180 orang) dan Mersing (130 peserta).
Bagi setiap daerah sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada penduduk setempat untuk mereka nikmati sebagai juadah berbuka puasa.
Salah seorang peserta empower ECER, Azrul Hisyam berkata, dengan adanya program seperti itu dia dapat mendalami perasaan golongan yang tidak berkemampuan untuk berbuka dan sumbangan dari kami peserta empower ECER ini sekurang-kurangnya dapat memberikan juadah berbuka kepada golongan yang memerlukan.
Program empower ECER bukan sahaja menawarkan kursus latihan malah bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dalam pelbagai bidang, malah dititikberatkan juga nilai-nilai murni dalam diri usahawan lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini.
Program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan telah bermula sejak tahun 2011. Sehingga kini, program–program yang telah dilaksanakan memberi manfaat kepada ribuan peserta yang terdiri daripada golongan belia dan dewasa yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik.
Kursus latihan yang ditawarkan adalah berasaskan kepada Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.
Ia meliputi sembilan bidang iaitu Kursus Pembuatan Bakeri & Pastri, Kursus Masakan & Penyediaan Makanan “Foodprenuer”, Kursus Juruteknik Penyelenggaraan “Home Maintanance”, Kursus Dandanan & Penggayaan Rambut (Lelaki), Kursus Dandanan & Penggayaan Rambut (Wanita), Kursus Kecantikkan & Spa, Kursus Digitalprenuer “i-trader), Program Peningkatan Kapasiti Usahawan Jahitan “Tailorprenuer” dan Program Khas Keusahawanan Komuniti Nelayan serta Program Agropreneur.
Berita oleh Oleh Media Mulia
30 April 2022, 7:00 am