Hulu Terengganu | 24 Julai 2022 – Bahagian Penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu dengan kerjasama perunding alam sekitar UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. (UCSB) telah mengadakan sesi lawatan tapak bagi projek pembangunan talian penghantaran 275kV baharu oleh tetuan projek Tenaga Nasional Berhad (TNB), susulan penerimaan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah disediakan oleh pasukan perunding UCSB. Sesi lawatan tapak ini turut dijayakan dengan kehadiran wakil-wakil dari agensi setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT), Majlis Daerah Setiu (MDS), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Terengganu dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).
Lawatan tapak ini merupakan sebahagian daripada proses penilaian in-situ oleh JAS ke atas lokasi projek, stesen-stesen pensampelan dan penerima-penerima sensitif yang telah diambilkira di dalam penyediaan laporan EIA, sebelum berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa teknikal EIA (EIATRC) yang akan membahaskan kecukupan laporan secara lebih terperinci. Talian penghantaran baharu ini bakal membekalkan tenaga voltan tinggi bagi meningkatkan kestabilan dan daya harap tenaga elektrik khususnya di kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berkepadatan tinggi dari aspek kependudukan, pembangunan industri dan pengembangan konurbasi menjelang tahun 2050. Ini merupakan kali ketiga UCSB diberi kepercayaan oleh TNB dan TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) untuk menyediakan laporan EIA bagi projek talian penghantaran, selepas EIA yang disediakan bagi talian penghantaran 132kV Tekai HEP-Kuala Lipis/Jerantut dan 275kV Ulu Jelai-Laloh telah diluluskan oleh JAS Pahang dan JAS Kelantan.
Mendengar taklimat daripada jurutera kanan TNB perihal jajaran talian yang berakhir di tapak cadangan pencawang masuk utama Kuala Terengganu South (PMUKTGS) di Kampung Selar Beladau, Kepong, Kuala Terengganu.
Perbincangan pelan jajaran talian yang turut melibatkan kerja-kerja menaiktaraf talian sedia ada di Kampung Selar Beladau, Kepong, Kuala Terengganu